CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, January 10, 2009

Memahami Kanak-kanak...

Pengetahuan berkenaan perkembangan kanak-kanak dapat memberikan panduan kepada guru bagi mengetahui tingkah laku dan sifat-sifat yang dapat dijangka dalam diri kanak-kanak. Maklumat ini dapat membantu kita sebagai guru atau ibu bapa untuk membuat keputusan bagi menyediakan bilik darjah dan peluang-peluang pembelajaran yang mencabar. Pengetahuan asas berkenaan perkembangan kanak-kanak dapat membantu guru menjawab soalan yang paling penting, iaitu " Apakah yang terbaik untuk kanak-kanak ?" Prinsip-prinsip berikut dapat memandu guru dalam membuat keputusan yang bersesuaian dengan kanak-kanak. (Feldman,1991).

• Perkembangan kanak-kanak adalah mengikut corak yang dijangka. Kanak-kanak berkembang mengikut peringkat dan urutan peringkat tersebut adalah sama.

• Kadar kecepatan perkembangan setiap kanak-kanak adalah sangat jauh berbeza. Walaupun kanak-kanak berada pada tahap umur yang sama, tetapi tahap pengetahuan dan kemahiran mereka sangat berbeza.

• Perkembangan kanak-kanak selalunya tidak sama. Kanak-kanak dapat berkembang lebih cepat dalam bidang tertentu daripada bidang lain.

• Perkembangan bermula daripada mudah ke susah dan daripada umum ke khusus. Setiap kemahiran dibina daripada mudah sehingga kanak-kanak dapat belajar kemahiran dan konsep yang lebih halus.

• Pembelajaran bermula daripada konkrit kepada kepada yang abstrak. Kanak-kanak memerlukan pengalaman yang sebenar, iaitu berinteraksi dengan objek-objek konkrit dalam pembentukan pengetahuan.

• Perkembangan tidak dapat 'diajar' atau 'dipaksa'. Apabila kanak-kanak dipaksa melakukan sesuatu diluar kemampuan mereka, hal ini akan merosakkan konsep diri atau menimbulkan sikap negatif terhadap sekolah.

• Kanak-kanak mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza di samping mempunyai minat, keperluan dan motivasi yang berbeza.

• Perkembangan intelektual, sosial, emosi dan fizikal adalah jalinan yang berkaitan antara satu sama lain. Oleh itu, perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh dengan pengalaman dalam semua aspek tersebut adalah penting.

Pengetahuan guru berkenaan prinsip perkembangan kanak-kanak dapat memandu guru memberi motivasi, menyediakan persekitaran dan pengalaman pembelajaran yang optimum. Pemahaman guru berkenaan perkembangan kanak-kanak dapat meningkatkan lagi keyakinan dan memberi panduan kepada guru menyesuaikan program mengikut keperluan setiap kanak-kanak yang berada di dalam kelas.

0 comments: